**FINAS Tingkatkan Industri Filem Tempatan ke Standard Antarabangsa** Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Lembaga Pembangunan Filem Negara Malaysia (FINAS) terus berusaha untuk membawa industri filem negara ke tahap global. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching berkata, FINAS mengambil pelbagai langkah untuk memajukan industri filem tempatan, termasuk dalam pembangunan modal insan, pembiayaan kewangan, dan pemasaran kandungan kreatif filem tempatan. “Di dalam aspek pembangunan modal insan, FINAS menyediakan pelbagai latihan teknikal dan kursus profesional dalam bidang pengarahan, penulisan skrip, produksi, penyuntingan, serta operasi kamera, pencahayaan, kesan visual dan lain-lain,” jelas beliau. Selain itu, kerjasama dengan pakar dan tenaga pengajar antarabangsa juga diadakan untuk memperkenalkan teknik terbaik, inovasi, dan pengalaman dalam industri filem global kepada para pelakon tempatan. Teo Nie Ching berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Abdul Nasir di Dewan Negara.