**Kementerian Komunikasi Lancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Dalam Talian di Sekolah Seluruh Negara** **23 Januari 2025** Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata kempen kesedaran keselamatan dalam talian akan menjadi salah satu aktiviti "flagship" kementeriannya tahun ini, bertujuan untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat menggunakan internet dengan lebih selamat. Beliau berkata, kempen ini telah dimulakan dengan pelancaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 21 Januari, dan akan diperluaskan ke sekolah-sekolah rendah dan menengah. “ kita perlu menyampaikan mesej yang jelas, memastikan internet bukan sahaja lebih murah, lebih meluas, dan lebih pantas, tetapi yang paling penting, ia lebih selamat untuk anak-anak kita dan keluarga,” kata Fahmi selepas menghadiri mesyuarat bulanan Kementerian Komunikasi hari ini. Fahmi menjelaskan bahawa kempen ini akan bermula dengan memberi fokus kepada universiti awam, termasuk penyertaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sebelum diperluaskan ke sekolah-sekolah lain, dengan matlamat menyebarkan maklumat mengenai keselamatan dalam talian ke seluruh negara. "Saya berharap mesej yang disampaikan di peringkat sekolah rendah adalah untuk kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah agar 'mengatakan tidak kepada media sosial'. Di peringkat sekolah menengah, mesej yang akan disampaikan adalah penggunaan internet yang selamat untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan atau pedofilia. Gunakan internet dengan bijak dan selamat, terutama di media sosial," tambahnya. Kementerian Komunikasi mensasarkan untuk melibatkan 10,000 institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah menengah serta rendah dalam kempen ini menjelang akhir tahun ini. Fahmi turut memaklumkan bahawa pasukan yang telah dilatih akan pergi ke masjid, surau, tempat ibadat, persatuan penduduk, dan program jiran mesra untuk mendidik masyarakat dan meningkatkan kesedaran keselamatan internet dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Beliau juga meminta Setiausaha Kementerian Komunikasi untuk menjemput agensi-agensi di bawah kementerian tersebut untuk turut serta, kerana keselamatan dalam talian bukan hanya melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, tetapi juga memerlukan kerjasama daripada pihak lain, termasuk pihak polis dan penyedia platform media sosial.